Saturday, March 1, 2014

OKU kesal lot parkir untuk OKU dibatalkan

FREE MALAYSIA TODAY

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/02/28/oku-kesal-lot-parkir-untuk-oku-dibatalkan/
 | February 28, 2014
Beliau tidak dibenarkan untuk menggunakan tempat letak kereta tersebut yang telah digunakan selama tujuh tahun
oku-parking-lot-copyPETALING JAYA: Seorang OKU, Murugeswaran Veerasamy kesal dengan sikap pemaju Apartment Seri Galaksi, Subang Bestari yang membatalkan lot parkir kereta untuk orang OKU pada 23 Februari lalu.
Beliau yang telah membeli apartment itu sejak 30 September 2004 sebelum ini telah diberi lot parkir kereta OKU yang disediakan oleh pihak apartment sebantak dua lot memandangkan apartment itu ada dua blok sahaja.
“Sejak saya pindah masuk ke apartment tesebut, sekitar bulan Julai 2007, saya telah dan sedang menggunakan tempat letak kereta OKU yang telah disediakan oleh pemaju, memandangkan tempat letak kereta yang saya beli untuk unit saya (lokasinya yang telah ditetapkan oleh pemaju) adalah tempat letak kereta biasa yang tidak sesuai bagi saya yang menggunakan kerusi roda,” katanya kepada FMT.
Namun demikian, katanya, pada  23 Februari lalu, di dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh pihak “Joint Management Committee” (“JMB”) yang dihadiri oleh wakil daripada pemaju dan penghuni-penghuni apartment tersebut, mereka dimaklumkan bahawa, memandangkan hakmilik strata bagi aparment tersebut telah dikeluarkan, pihak Pejabat Tanah, JUPEM, Pemaju dan JMB telah menbuat beberapa pindaan mengenai lokasi tempat letak kereta bagi penghuni-penghuni Apartment tersebut.
“Saya terkilan, apabila dimaklumkan bahawa, tempat letak kereta OKU yang saya sedang gunakan pada masa kini, telah pun menjadi milik salah seoarang penghuni apartment tersebut dan saya tidak dibenarkan untuk menggunakan tempat letak kereta tersebut mulai 23 Februari lalu yang mana saya telah gunakan parking untuk OKU itu selama tujuh tahun,” katanya.
Murugeswaran berkata beliau telah meminta, wakil pemaju menyediakan tempat  letak kereta OKU yang baru bagi menggantikan tempat letak kereta OKU yang beliau sedang guna kini.
Menurut wakil pemaju, tambahnya lagi, mereka belum menyediakan tempat kereta OKU yang baru dan meminta beliau untuk menggunakan satu tempat letak kereta lain untuk sementara waktu.
“Namun begitu tempat letak kereta OKU sementara tersebut tidak mematuhi spesifikasi yang termaktub dibawah Malaysian Standard Practice<” dakwanya.
Katanya, keluasan tempat letak kereta OKU sementara itu adalah sama dengan tempat letak kereta yang biasa, ianya mustahil baginya menggunakan tempat letak kereta sementara tersebut memandangkan beliau tidak boleh masuk ke dalam kenderaannya mahupun keluar daripada kenderaan melainkan terdapat orang lain membantu mengeluarkan dan memarkirkan kereta beliau setiap kali beliau ingin keluar daripada apartment tersebut.
“Saya amat terkilan dengan tindakan pihak pemaju dan JMB yang kini mengatakan bahawa mereka tidak  boleh mengambil sebarang tindakan memandangkan ianya adalah arahan Pejabat Tanah dan pihak JUPEM,” katanya lagi.
Justru itu, beliau  memohon pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya dan menyediakan tempat letak kereta OKU di apartment tersebut sebelum bertindak untuk menukar status tempat letak OKU kini sebagai tempat letak kereta milik penghuni.