KUALA LUMPUR - Intipati Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas, antara lain memberi tumpuan dalam usaha bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) hidup berdikari dan terlibat dalam sektor pekerjaan.     

Bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat', rancangan lima tahun dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM260 bilion, menyenaraikan inisiatif pemantapan ekonomi dan tadbir urus negara, tatkala negara memasuki fasa pembangunan lima tahun yang terakhir sebelum mencapai status negara maju menjelang 2020.  

Bagi memastikan rancangan pembangunan yang inklusif, antara inisiatif yang disasarkan ialah pembinaan tambahan tujuh lagi pusat kehidupan berdikari di seluruh negara yang memberi manfaat kepada hampir 11,000 golongan OKU.   

Kerajaan turut menyasarkan penyertaan OKU untuk mengisi lebih 16,000 jawatan dalam sektor awam dalam RMK11.   


TIADA DISKRIMINASI    

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda menyifatkan inisiatif yang diambil kerajaan dalam RMK11  membuktikan ia tidak pernah menyisihkan nasib golongan OKU sebaliknya bersama-sama kerajaan dalam pembangunan negara.   

"Apa yang dilakukan kerajaan ini wajar dipuji kerana usaha ini menunjukkan golongan OKU berperanan penting untuk memajukan negara dengan adanya pengisian  jawatan oleh golongan tersebut di sektor awam, maka perkhidmatan serta gerak kerja akan menjadi lebih mantap," katanya kepada Bernama.   

Namun timbul persoalan terhadap inisiatif kerajaan ekoran matlamat dasar satu peratus OKU dalam sektor awam yang dilaksanakan pada 2008, masih belum dicapai?   

Dilaporkan setakat ini hanya 3,741 OKU bekerja dalam sektor awam daripada lebih satu juta penjawat awam di seluruh negara. Menurut Kementerian Pembangunan  anita, Keluarga dan Masyarakat, sejumlah 335,217 OKU berdaftar dengan kementerian berkenaan sehingga April tahun ini.   

Dalam hal ini, Azih berkata, kerajaan sewajarnya memberi kelonggaran syarat kepada golongan OKU yang berminat untuk menyertai perkhidmatan awam.   

"Amat merugikan kalau kita tidak pandang berat tentang isu ini kerana mereka (golongan OKU) ini berkelayakan dan boleh bekerja dengan baik. Tetapi kalau syarat- syarat terlalu ketat, ini akan menutup peluang mereka untuk berkhidmat di sektor awam," katanya.  

Beliau berharap kerajaan dapat mengkaji balik dan membuat pengubahsuaian terhadap syarat-syarat kemasukan pekerja OKU di sektor awam.   

Azih berkata, golongan OKU hari ini sudah setanding dengan individu normal kerana ada kalangan mereka berpendidikan tinggi dan mempunyai kepakaran dalam  elbagai bidang justeru tidak timbul unsur prejudis atau diskriminasi terhadap golongan tersebut.   

Mengulas lanjut, beliau berkata presepsi masyarakat juga sudah berubah dan menerima kehadiran golongan ini dengan hati terbuka tambahan pula insan istimewa  ni dikurniakan semangat yang tinggi.   

"Kita harus sedar golongan OKU juga telah banyak menyumbang tenaga dan mengharumkan nama di mata dunia, maka dengan penyertaan mereka di sektor awam  akan memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada negara," katanya.   

Beliau turut menyarankan agar kerajaan membina lebih banyak institusi pendidikan khas kepada golongan OKU, sekali gus terus membantu meningkatkan taraf  hidup mereka.       


MASYARAKAT INKLUSIF       

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), Silatul Rahim Dahman berkata dasar di dalam RMK11 memperlihatkan kerajaan  ingin mewujudkan sebuah masyarakat inklusif dengan mempermudahkan golongan OKU untuk turut serta dalam sektor awam.   

Selain itu, usaha kerajaan menambah lagi pusat kehidupan berdikari akan membolehkan golongan OKU mendapatkan latihan dan kemahiran secara lebih komprehensif.   

"Jika suatu masa dahulu kumpulan OKU adalah insan yang terpinggir di negara ini namun apabila kerajaan membuka 'jalan' kepada mereka, saya merasakan ini
adalah pelaksanaan yang sangat wajar.
  
"Sama ada OKU atau tidak OKU, hanya daripada segi fizikal sahaja tetapi yang lebih penting adalah kebolehan dan nilai seseorang individu itu memberi sumbangan dalam arus perdana," katanya.   

HARAPAN OKU     

Dalam pada itu, Silatul Rahim berkata masalah yang kerap mengganggu golongan OKU untuk bergerak bebas adalah kemudahan infrastruktur tidak mesra OKU,  keadaan fizikal bangunan untuk bekerja dan peralatan bagi mengakses maklumat.   

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa memberikan keutamaan untuk menyediakan kemudahan memuaskan kepada golongan OKU berbanding  beberapa negara di rantau Asean, penambahbaikan perlu dilakukan bagi membantu mereka untuk terus berjaya.   

"Saya harap apabila kerajaan menyediakan segala kemudahan lengkap kepada golongan ini, mereka akan merebut peluang dan menggunakan kelebihan yang ada untuk terus maju dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosial," katanya.   

Di samping itu, Silatul Rahim berharap agar suara dan pendapat golongan OKU terus didengar oleh kerajaan khususnya melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan insan istimewa ini.   

"Saya ingin melihat jika golongan OKU ini diberi peluang dalam dunia politik di mana calon OKU itu adalah individu yang dipilih berdasarkan kelayakan dan kemampuan bukan disebabkan dia seorang OKU.   

"Walaupun saya akui memang ada calon OKU sebelum ini tetapi saya berharap lebih ramai pemimpin dalam kalangan warga OKU dipilih untuk memperjuangkan  nasib kami," katanya. - Bernama